YBM Tengku Razaleigh Hamzah, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang telah memanggil satu Perhimpunan Khas UMNO Bahagian tersebut pada Jumaat, 4hb. April 2008. Ada baiknya kita meneliti kandungan ucapan beliau dan mengambil sikap yang terbuka dalam menanggapi isu kemelut `pemulihan' keyakinan rakyat kepada UMNO. Mana yang baik, munasabah dan wajar ... kita terima, asalkan ianya baik untuk parti. Tidak bermakna membaca dan memahami lalu menilai dan menerima pandangannya membawa maksud kita engkar dan melawan kepimpinan semasa parti. Fikir-fikir dan renung-renungkan... HzY
>>mula
Kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah Izin-Nya, kita semua dapat bertemu di perjumpaan ini pada ketika kita sedang menghadapi pengalaman yang sangat pahit dan membimbangkan kita semua, iaitu pengalaman buruk yang dilalui oleh UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang baru lepas.
Sejak tertubuhnya UMNO pada 11 Mei 1946, parti kebangsaan Melayu ini tidak pernah tercabar begitu hebat dan teruk seperti yang berlaku padanya selepas PRU12.
UMNO lahir dari semangat perjuangan kebangsaan menentang muslihat dan gagasan British untuk menghapuskan kedaulatan bangsa Melayu, negeri Melayu dan raja Melayu di tanah air mereka sendiri.
Kita berjaya menumpaskan gagasan penjajah itu dan meneruskan perjuangan untuk menuntut kemerdekaan hanya dengan bersenjatakan semangat cinta kepada bangsa, agama, budaya dan tanah air.
Itulah agenda kebangsaan Melayu waktu itu dan itulah sumber kekuatan yang telah menyatukan bangsa Melayu sehingga kita akhirnya berjaya mencapai kemerdekaan tanpa terpaksa berperang kerana pihak British menyedari bahawa bangsa Melayu waktu itu mempunyai kekuatan sejarah dan warisan yang kuat, dan sukar ditentang.
Kekuatan UMNO itu terbukti dalam PRU pertama yang diadakan dalam tahun 1955. Parti Perikatan yang diterajui oleh UMNO dengan dukungan rakan-rakan dari MCA dan MIC mencapai kemenangan yang cemerlang. Daripada 52 kerusi Majlis Perundangan Persekutuan (sekarang Parlimen) yang ditandingi, Perikatan memenangi 51 kerusi dan menguasai lebih 2/3 atau hampir 95% kerusi Majlis Perundangan Persekutuan.
Yang penting kita ingatkan diri kita semula ialah, kerusi UMNO melebihi 2/3 kerusi Majlis Perundangan Persekutuan dengan memenangi 33 kerusi. Ini bererti bahawa kuasa politik Melayu pada waktu itu cukup kuat dan itulah salah satu asas ketuanan bangsa Melayu.
Malangnya kita tidak bertahan dan tidak mampu memperkukuhkan kedudukan itu dalam pilihan-pilihan raya berikutnya. Empat puluh tahun kemudian, iaitu selepas PRU12 dalam tahun ini, UMNO jatuh tarafnya sebagai parti yang terkuat dan yang didukung oleh majoriti orang Melayu tiba-tiba jatuh menjadi parti yang kecil perwakilannya dalam Parlimen padahal parti ini adalah parti yang terbesar di negara ini, mempunyai 191 Bahagian di seluruh Malaysia dan jumlah anggotanya melebihi 3 juta orang.
UMNO cuma berjaya memenangi 78 buah kerusi Parlimen, menurun sebanyak 32 buah kerusi dari jumlah 110 buah kerusi yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-11.
Hilang Kuasa
Yang memeranjatkan kita ialah, parti baru, iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi 31 kerusi Parlimen. Dalam tahun 2004 parti ini cuma mempunyai seorang ahli Parlimen. Daripada 31 ahli parlimen PKR itu, 18 ialah orang Melayu. PAS memenangi 23 kerusi. Dalam tahun 2004 parti ini mempunyai 6 orang ahli Parlimen sahaja.
Akibatnya, BN kehilangan kuasa majoriti 2/3 majoriti dalam Parlimen
Dua perkembangan lain yang tidak disangka-sangka oleh UMNO (tetapi mungkin tidak memeranjatkan orang lain) ialah pertama, jatuhnya empat buah negeri – Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang - ke tangan parti Pakatan Rakyat, iaitu gabungan parti PAS-PKR-DAP. PAS di Kelantan menjadi bertambah kuat.
Dan kedua, kalahnya banyak calon MCA, MIC dan Gerakan di tangan calon DAP dan PKR.
Itu petanda bahawa BN dan UMNO yang telah memerintah negara ini dengan tidak putus-putus sejak merdeka atau sejak tahun 1955 tidak lagi mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat Malaysia dari semua kaum.
Berdasarkan statistik tentang kadar jumlah undi popular seluruh rakyat Malaysia, didapati bahawa hanya 48% sahaja daripada pengundi seluruh negara yang menyokong (mengundi) BN, manakala jumlah undi popular seluruh negara yang menyokong parti-parti lawan ialah 52%.
Jadi, mesej atau isyarat pengundi agak terang dan jelas: Mereka mahukan perubahan kerajaan. Mereka mahukan kerajaan yang lebih cekap, telus, bersih, beramanah, adil dan pro-rakyat tanpa mengira kaum.
Beberapa perkembangan yang berlaku sebelum PRU12 itu diadakan, memperkuatkan lagi ketidakyakinan rakyat terhadap keupayaan dan komitmen kerajaan BN untuk memerintah negara ini dengan cekap, bersih, amanah dan adil, untuk menyelesaikan masalah-masalah asas ekonomi, sosial, perumahan dan pendidikan rakyat miskin, untuk menghapuskan rasuah yang semakin menjadi-jadi di kalangan ‘orang atasan’ dan yang berkuasa, termasuk dari kalangan wakil rakyat sendiri.
Kita sebut satu kes sahaja, iaitu kes yang berkaitan dengan ‘rakaman video Lingam’ yang didedahkan kepada Suruhanjaya yang dilantik untuk mendengar kes ini.
Segala cerita yang disampaikan kepada Suruhanjaya kes ini memperlihatkan kepada rakyat betapa korap dan lemahnya sistem pelantikan dan cara membuat keputusan mahkamah.
Bayangkan, seorang peguam bela dalam kes tertentu boleh menulis keputusan (judgement) mahkamah dan hakim yang berkenaan hanya membaca keputusan yang telah disediakan oleh peguam itu.
Bayangkan juga, para tauke atau tauke judi boleh ‘campur tangan’ dalam soal pelantikan hakim.
Malapetaka
Kes seperti ini tidak sahaja mengaibkan darjat hakim – hakim bangsa Melayu beragama Islam pula – tetapi ia dengan jelas memusnahkan kredibiliti kerajaan BN yang nampaknya membiarkan perkara-perkara yang buruk dan dahsyat itu berlaku terhadap sistem kehakiman negara. Orang akan takut untuk menghadapi mahkamah yang dikendalikan oleh hakim yang boleh dibeli.
Ada beberapa kes lain – ada yang masih belum selesai, iaitu masih dalam proses pembicaraan – yang juga tidak kurang besar pengaruhnya terhadap sentimen dan pola pemilihan rakyat dalam PRU12.
Tidak usah saya sebutkan kes-kes itu – saudara sekalian yang membaca surat khabar tentu mengetahuinya.
Apakah Respons Kita Terhadap Kemerosotan Kuasa Politik UMNO ini?
Sampai saat ini, setelah hampir sebulan UMNO dan BN mengalami ‘malapetaka’ politik yang dahsyat itu, tidak ada apa-apa tindakan yang diambil oleh pucuk pimpinan parti untuk membincangkan sebab-sebab mengapa ‘malapetaka’ itu berlaku pada UMNO dan BN.
Tidak ada usaha untuk mengajak para perwakilan UMNO dari semua peringkat – peringkat Bahagian dan Cawangan – untuk mengadakan proses muhasabah secara terbuka, secara kritis tetapi tenang.
Matang dan rasional, tidak beremosi, dari hati ke hati sesama anggota parti sendiri, membincangkan ‘masalah rumah’ sendiri ini, dan mencari jalan yang baik dan benar dengan tujuan untuk memperbaiki diri dan menghindari berlakunya kejadian yang lebih buruk lagi baik sekarang mahu pun dalam PRU akan datang.
Kita mendengar bermacam-macam reaksi, pandangan dan keluhan, kritik dan tuduh menuduh dari orang-orang perseorangan UMNO, yang paling banyak ialah dari beberapa orang pemimpin dan menteri UMNO.
Ada yang mengatakan bahawa kita sebenarnya tidak kalah, kita masih menang; ada yang berkata, ‘BN akan bangkit semula untuk menebus kekalahannya’; ada yang menyalahkan orang Melayu yang memilih parti lain, dan berkata orang Melayu itu ‘tidak mengenang jasa’ (tidak tahu saya ‘jasa siapa dan apa’); ada yang menyalahkan generasi muda Melayu kerana kononnya mereka ‘tidak faham perjuangan UMNO’ atau kerana mereka tidak mendapat berita, maklumat dan cerita yang sebenar tentang kerajaan, UMNO dan BN yang disiarkan dalam surat khabar arus perdana, tetapi membacanya dari blog-blog ‘anti kerajaan’ dan ‘anti UMNO’ dalam internet.
Jadi, nampaknya, kita masih mengekalkan fiil dan budaya lama, fiil tidak mahu memeriksa kesalahan dan kelemahan kita secara kolektif, secara rasional, bijak dan cerdik. Kita mencari kesalahan orang lain, kesalahan pengundi, kesalahan parti lawan.
Suara Rakyat
Para pemimpin parti – walaupun tidak semuanya – cuba menutup suara rakyat akar umbi UMNO, tidak mahu mendengar pandangan dan kritikan dan teguran mereka. Kita pergi ke sana ke mari menyebarkan propaganda dan dongeng bahawa parti akan rosak jikalau ahli akar umbi UMNO tidak menyerahkan segala masalah yang dihadapi oleh UMNO sekarang kepada pucuk pimpinan untuk ditangani dengan sebaik-baiknya – mereka diseru supaya memberikan kepercayaan kepada pucuk pimpinan.
Apakah mereka tidak sedar bahawa yang menjadi punca besar kelemahan UMNO yang membawa kepada malapetaka yang tersebut itu bukan rakyat akar umbi UMNO tetapi ialah kelemahan kepimpinan UMNO, ini termasuk para menteri UMNO, yang setengah-setengahnya tidak mempunyai rekod peribadi, moral dan budaya yang baik.
Merekalah yang tidak mahu UMNO berubah; merekalah yang mahu kepimpinan UMNO yang ada dikekalkan, jangan digantikan, jangan ditandingi.
Masalah UMNO bukan masalah beberapa orang yang berkepentingan sahaja, tetapi masalah bersama semua ahli UMNO. UMNO bukan kelab golongan elit, golongan hartawan dan peniaga, kelab ‘eksklusif’.
UMNO ialah parti politik kebangsaan Melayu. Tugasnya bukan untuk menjaga periuk nasi anggota atasannya tetapi untuk memperjuang, menegakkan, dan memperkukuh tiga tiang kekuatan bangsa Melayu, yang saya sebut tiang Alif, Ba, Ta: Alif bererti Agama, Ba bererti Bahasa, Budaya dan Bangsa, dan Ta bererti Tanah Air.
Apabila UMNO tidak lagi mempedulikan perjuangan Alif, Ba, Ta ini, yang merupakan perjuangan Melayu yang asas, yang fundamental, alamat UMNO akan kehilangan pedoman dan petunjuk daripada Allah dan akan ditinggalkan oleh bangsa Melayu.
Masalah kita sekarang ialah, bagaimanakah anggota UMNO sebahagian besarnya tidak akan lari meninggalkan kapal yang sedang rosak dan bila-bila masa boleh tenggelam kerana nakhodanya lemah, dan seringkali meninggalkan kemudi atau menyerahkannya kepada anak-anak kapalnya.
Anggaplah masalah yang kita hadapi itu sebagai darurat UMNO. Untuk menangani sesuatu darurat kita perlu bertindak segera sebelum darurat itu merebak dan merosakkan seluruh asas tamadun dan perjuangan UMNO yang telah dibina sejak tahun 1946.
Kita perlu mengadakan sidang muhasabah dengan segera, melibatkan perwakilan UMNO yang selama ini menjadi nadi dan tenaga raksasa dalam kelangsungan hidup UMNO selama 60 tahun, untuk membincangkan kelemahan dan kesalahan UMNO selama ini dan memikirkan visi baru UMNO untuk menghadapi masa depan yang lebih mencabar. Rakyat hari ini tidak sama lagi dengan rakyat 40 atau 30 tahun yang lepas.
Harapan mereka tidak sama lagi dengan harapan ibu bapa atau nenek mereka. UMNO perlu terus relevan dengan cita-cita, harapan dan tuntutan mereka.
Perkara Pokok
Saya hendak menyentuh tiga perkara pokok yang saya anggap menjadi punca kelemahan UMNO, terutama mulai tahun 1980-an sehingga akhirnya menyebabkan UMNO (dan BN) nyaris-nyaris terlungkup dalam PRU12.
Pertama: Musnahnya Demokrasi dalam UMNO. Ini bermula apabila Perlembagaan UMNO dipinda dengan memasukkan peraturan baru yang menetapkan syarat bahawa anggota parti yang hendak menandingi jawatan Presiden hendaklah mendapat pencalonan sebanyak 30% daripada Bahagian UMNO. Ini bererti calon itu perlu mendapat pencalonan daripada 58 Bahagian daripada jumlah 191 Bahagian UMNO.
Tujuannya kononnya ialah untuk mengelak supaya tidak sembarangan anggota parti sahaja, sesuka hatinya dan secara bermain-main akan mengemukakan dirinya sebagai calon Presiden atau jawatan-jawatan lain.
Saya tidak fikir anggota UMNO yang tahu diri dan berbudaya dengan sesuka hati sahaja akan mencabar Presiden UMNO, lebih-lebih lagi jikalau Presiden itu diketahui oleh semua anggota parti sebagai pemimpin yang baik, cekap, bijak, adil, bersih dan tegas.
Sebelum kuota itu diperkenalkan, UMNO pernah juga mengenakan peraturan, iaitu calon hendaklah mendapat pencalonan daripada dua bahagian sahaja. Ini ‘peraturan’ yang munasabah dan tidak terlalu ‘undemocratic’.
Parti yang wujud dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi tetapi tidak mengamalkan demokrasi dalam partinya sendiri, bagi saya, ini adalah amalan yang bercanggah dan luar biasa.
Parti yang tidak mengamalkan demokrasi bererti parti itu menyekat atau tidak menggalakkan tumbuhnya kecekapan dan kreativiti dalam parti itu; anggotanya tidak dibenarkan bersuara untuk menegur pimpinan parti, atau untuk memilih pemimpin yang lebih baik.
Orang tidak dibenarkan dan selalunya disekat malah digertak supaya jangan menentang atau menandingi pemimpin-pemimpin parti. Akibatnya parti menjadi beku.
Pembaharuan dan kemajuan parti bantut. Kita lebih seronok mempercayai bahawa parti tidak menghadapi apa-apa masalah, parti kita kuat, anggota parti bersatu, dan pelbagai persepsi diri sendiri yang diciptakan secara emosi dan retorik.
Orang lebih taat kepada pemimpin daripada kepada parti dan perjuangan parti. Rasuah politik akan dan memang sedang berlaku dalam parti sebagai cara untuk membeli undi atau untuk mengekalkan kedudukan pemimpin yang lemah.
Hak Ahli
Maka lahirlah banyak ‘pak turut’ dan ‘tukang ampu’ dalam parti yang secara tidak bermoral dan berprinsip akan sentiasa memuji dan membela pemimpin walaupun mereka tahu pemimpin itu lemah.
Inilah keadaan yang berlaku dalam UMNO hingga sekarang. Setiap kali menjelang pilihan parti, ada sahaja orang dan puak yang menyeru anggota parti supaya jawatan Presiden Parti, atau Timbalan Presiden, Ketua Wanita, atau Ketua Pemuda tidak ditandingi.
Sebenarnya mereka tidak berhak berbuat demikian. Memilih pemimpin parti dari peringkat Presiden hingga ke peringkat pemimpin akar umbi adalah hak anggota parti.
Jadi, untuk menyelamatkan UMNO dan menjadikannya parti politik kebangsaan Melayu ini terus relevan, cekap, kuat dan maju sepanjang zaman, demokrasi hendaklah dikembalikan dalam UMNO.
Saya mengesyorkan dua perubahan: Pertama, kuota yang ada itu dihapuskan dan kedua, parti hendaklah mengawal kerajaan.
Ahli UMNO yang memegang jawatan kerajaan tidak boleh lebih berkuasa dari parti. Partilah yang seharusnya mengawal, memantau dan menilai prestasi mereka. Jika mereka menjalankan dasar yang bertentangan dengan dasar parti, mereka boleh dipersoalkan oleh Majlis Tertinggi UMNO.
Logik cadangan ini mudah dan jelas: Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri dari UMNO tidak akan memegang jawatan itu sekiranya mereka tidak lebih dahulu dipilih oleh perwakilan UMNO sebagai Presiden dan Timbalan Presiden parti dan oleh rakyat sebagai ahli Parlimen.
Kalau Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO menggubal dan melaksanakan dasar yang boleh menjahanamkan Bahasa Melayu dan Agama Islam, maka dia mesti ditegur dan didisiplinkan oleh parti. UMNO perlu mewujudkan mekanisme yang sesuai dan cekap untuk melaksanakan sistem ‘parti mengawal kerajaan’ ini.
Kedua, Dasar dan Visi UMNO hendaklah merentas sempadan kaum, dan tidak dilihat sebagai parti untuk dan bagi pihak orang Melayu sahaja.
Parti Supraetnik
Dasar dan visi UMNO yang asal, iaitu yang berasaskan perjuangan Alif, Ba, Ta, seperti yang saya sebutkan tadi, tetap dipertahankan tetapi dalam soal untuk memajukan keadaan hidup ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya untuk rakyat, UMNO hendaklah memprojekkan dirinya sebagai parti untuk kepentingan semua rakyat tidak kira kaum.
Kita mahu UMNO menjadi parti supraetnik, parti nasional, yang adil kepada rakyat tanpa mengira kaum tetapi tetap mempertahankan ‘visi tradisionalnya’: iaitu, mempertahankan tanah air (negara ini) daripada penjajahan politik, ekonomi, ideologi dan budaya orang asing atau kuasa asing, mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara yang faedahnya ialah untuk negara, bukan untuk mana-mana kaum, dan mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan. Dasar dan perjuangan parti UMNO ini tidak menjejaskan hak dan kepentingan kaum lain.
Imej UMNO selama beberapa tahun kebelakangan ini dapat kita bahagikan kepada tiga jenis:
Pertama, imejnya kepada orang Melayu ialah: UMNO tidak lagi memperjuangkan hak-hak yang menjadi warisan bangsa Melayu sejak dahulu kala. UMNO dilihat sebagai parti yang tidak lagi mempedulikan Bahasa Melayu, budaya Melayu dan ekonomi rakyat Melayu yang miskin. Ini memarahkan orang Melayu.
Di samping ini orang Melayu juga mula risau dan khuatir melihat kurangnya komitmen UMNO untuk mempertahankan martabat dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu. Institusi Raja-Raja Melayu ialah institusi yang tertua di Tanah Melayu dengan usianya melebihi 700 tahun dan institusi inilah yang menjadi salah satu penyelamat tamadun Melayu walaupun kita dicabar oleh tiga kuasa Barat, iaitu Portugis, Belanda dan British. Negeri Melayu dan kedaulatan Melayu kekal sampai sekarang kerana adanya institusi ini sebagai penyelamat bangsa.
Imej kedua ialah: imej UMNO di mata orang bukan Melayu, iaitu, mereka menganggap UMNO ialah parti untuk kepentingan orang Melayu, tidak untuk kepentingan kaum lain; UMNO dianggotai oleh orang Melayu yang ‘fanatik Melayu’, suka menjulang keris apabila memarahkan kaum lain, entah apalah sebabnya.
Imej UMNO yang ketiga ialah: imejnya sebagai parti yang menggalakkan rasuah politik atau parti ‘orang kaya’ di atas dan parti orang miskin di bawah, parti yang korap, parti yang berkeliaran dengan buaya-buaya darat dan yu-yu laut yang tidak segan silu menyapu dan menelan segala projek dan kontrak kerajaan dan hak rakyat miskin tidak kira kaum. Imej ini dibenci oleh semua kaum, tidak sahaja orang Melayu tetapi juga oleh kaum bukan Melayu.
UMNO mesti mengubah atau kalau perlu membersihkan ketiga-tiga imej yang buruk itu. UMNO mesti dipercayai bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga oleh orang bukan Melayu.
Dalam PRU12, kita lihat ada orang dari kaum India dan kaum Cina, misalnya, mengibarkan dan menjunjung bendera PAS, dan mereka mengundi calon PAS di kawasan kuat UMNO.
Mengapa? Apakah kerana mereka sudah dipukau atau di-Islamkan oleh orang PAS? Tidak. Mereka berbuat demikian kerana mereka percaya bahawa PAS, berdasarkan prinsip Islam, lebih adil daripada UMNO terhadap kaum bukan Islam.
Mereka berkata orang PAS takut kepada Tuhan; jadi mereka takut hendak bercakap bohong atau melakukan dosa kepada makhluk Allah, tidak kira bangsa dan agama. Mereka berkata, Tok Guru Nik Aziz jauh lebih baik, bersih dan amanah daripada kebanyakan pemimpin UMNO Kelantan.
Cabaran Semasa
Inilah cabaran yang dihadapi oleh UMNO hari ini. UMNO terpaksa menjadi parti yang boleh dipercayai oleh semua kaum. UMNO terpaksa menyaingi parti baru seperti PKR yang dilihat oleh semua kaum – termasuk orang Melayu generasi baru – sebagai parti yang dasarnya ialah keadilan kepada semua rakyat berdasarkan keadaan dan keperluan asas mereka.
Ketiga: perangai dan kelakuan budaya, moral dan akhlak orang UMNO perlu diadabkan.
Kita perhatikan dalam kempen PRU12, kelakuan beberapa calon UMNO tidak beradab. Mereka sombong, bercakap besar, riak, dan suka menabik dada. Seorang calon Parlimen UMNO memberitahu media bahawa matlamat dia ialah untuk memastikan lawannya hilang deposit.
Calon ini mengalami kekalahan teruk, diajar oleh pengundi Melayu. Di Kelantan kita dengar bagaimana seorang calon Parlimen yang dekat dengan kuasa atasan di K.L memaki hamun dan menggunakan kata-kata biadab terhadap PAS, khususnya terhadap Datuk Nik Aziz, MB Kelantan.
Bahkan seluruh jentera UMNO digerakkan untuk melancarkan semacam ‘perang salib’ terhadap PAS, gayanya seperti perang yang dilakukan oleh Bush terhadap negara Islam.
Saya faham, PAS ialah parti lawan UMNO tetapi bukan itulah caranya orang Melayu-Islam cuba mengalahkan pihak lawan sesama bangsa dan sesama agama.
Kita adalah bangsa yang berbudaya, beragama Islam, beradab. Orang Melayu – bahkan orang bukan Melayu dan bukan Islam pun – meluat dan menyampah dengan fiil dan kelakuan sombong bongkak itu. Kita tidak diajarkan cara bagaimana hendak memikat hati pihak lawan. Kita seolah-olah menggunakan budaya dan taktik samseng.
Akhirnya, kita kalah – kalah lebih teruk daripada dalam tahun 2004, bukan kerana dasar UMNO tidak baik tetapi kerana orang UMNO itu yang tidak baik, dan merekalah yang merosakkan imej parti.
Saya rasa kelakuan yang semakin biadab itu timbul daripada beberapa sebab, antaranya dapat kita sebut:
(a) kerana terlalu yakin pada kekuatan parti – dan tidak nampak apakah kelemahannya – lalu orang-orang seperti itu berasa megah, berani bercakap besar dan memberi tahu pengundi ‘Aku akan menjadi Menteri Besar’ atau akan menjadi menteri jika dipilih;
Jahil Budaya
(b) ekonomi pasaran atau ekonomi kapitalisme sudah menjadi alat politik UMNO untuk memperkayakan orang-orang tertentu dalam UMNO untuk kepentingan kepimpinan, tidak untuk kepentingan rakyat dan anggota akar umbi UMNO. Jiwa dan roh Melayu orang UMNO mulai digantikan dengan ‘roh perut’. Wang menjadi alat permainan politik dan kuasa dalam UMNO.
Jadi, untuk menyelamatkan UMNO, kita kena buang segala anggota UMNO di atas itu yang jahat, yang korap, yang tidak berbudaya dan berakhlak tinggi, dan yang tidak bijaksana.
Ada orang boleh jadi geliga otaknya, lulusan dari Oxford, Harvard dan sebagainya, tetapi tidak bijak, tidak pandai, tidak cerdik budaya. Orang ini tidak layak diangkat oleh UMNO untuk menjadi pemimpin mereka.
Mengapa? Sebabnya mereka tidak mempunyai ‘roh atau semangat Melayu’ yang cukup dalam dadanya, tidak bijak, tidak pandai bercakap dan berhujah dengan rakyat.
Mereka mungkin layak menjadi penyelidik akademik, tetapi tidak layak menjadi pemimpin bagi bangsa Melayu-Islam yang mempunyai nilai-nilai ketimurannya yang tersendiri, yang perlu difahami oleh sesiapa yang hendak menjadi pemimpin orang Melayu.
Mungkin banyak lagi perkara yang perlu dibincangkan oleh UMNO yang menjadi punca kelemahan UMNO. Kita tidak boleh menyerahkan semua perkara ini kepada beberapa orang pemimpin sahaja untuk memikirkannya.
Mereka boleh jadi tidak mempunyai ‘feed-back’ yang cukup, yang benar, yang ikhlas dari bawah, dari anggota akar umbi UMNO, untuk mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku dalam UMNO yang menyebabkan parti nyaris-nyaris tersungkur dalam PRU12.
Inilah sebabnya mengapa saya menggesa supaya Perhimpunan Agung Khas itu diadakan sebelum Perhimpunan Agung UMNO diadakan. Kita tidak mahu nanti perwakilan yang datang ke persidangan pemilihan itu datang seperti fiil lama, tidak mengetahui apakah kelemahan dan masalah UMNO, lalu mereka memilih atau disuruh memilih calon-calon yang sama, yang lemah untuk memimpin parti. Kalau begitu gayanya, saya khuatir kita akan mengalami malapetaka yang lebih buruk lagi.
HzY - Bahagian lain macamana?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment