Saturday, April 12, 2008

KOMENTAR

Berikut adalah komentar yang saya tulis dalam Scribe A.Kadir Jasin

Dato’ A.Kadir Jasin,
Sdra. Alias Mohd Yusof,

Tulisan Saudara Alias dalam komentar terhadap tulisan Datuk A.Kadir Jasin menarik perhatian saya. Saya hampir bersetuju terhadap keseluruhan tulisan saudara. Banyak point (fakta) dan tindakan politik yang ditinggalkan oleh Tun Dr. Mahathir (TDM) yang terpikul atau terpaksa dipikul oleh Pak Lah (PL). Fakta ini penting untuk TIDAK dilupakan oleh rakyat bahkan lebih khusus kepada pimimpin dan ahli UMNO. Fakta ini juga amat TIDAK WAJAR dilupakan oleh mereka yang mencari siapa yang patut disalahkan atau mereka yang sedang menyalahkan sesiapa. Kemenangan BN dalam pilihanraya yang hanya mampu menang majoriti mudah di Parlimen dan kekalahan di lima (5) negeri termasuk kerusi-kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan haruslah dipikul oleh kesemua ahli-ahli UMNO, tetapi bebanan dan tanggungjawab yang lebih, tentulah lebih terpikul oleh kepimpinan UMNO samada diperingkat Cawangan, Bahagian dan Perhubungan Negeri dan Pusat.

Ketika UMNO menyerahkan bebanan kepimpinan kepada PL, yakni TDM menyerahkan kepimpinan kepada PakLah, saya yakin sememangnya pada ketika itu tidak sedikit yang sangsi atas kemampuan PL. Keyakinan yang tidak padu itu juga terpahat bukan hanya kepada rakyat biasa bahkan kepada ahli UMNO sendiri. Ketika itu ramai yang berpandangan dari segi kemampuan, PL bukanlah orang yang terbaik untuk menggantikan TDM yang sudah begitu tercalar. Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa ada suara yang masih `ter’sebut atau `ter’suara tempat itu lebih meyakinkan jika diisi oleh Anwar Ibrahim (DSAI). Namun apakan daya, samada benar atau tidak kesalahannya, beliau telah tercemar dan telah dipenjarakan. DSAI telah secara `Mahathiriun’ di campak dan terperosok dalam sampah dan najis yang hendak dibuang oleh UMNO selama-lamanya. Menyebut nama Anwar sahaja seakan menjadi dosa kepada ahli UMNO. Apatahlagi TDM telah berjaya menggembeling pemikiran ahli UMNO untuk terus mengutamakan, menghormati, akur dan menurut kehendak Presiden. Pembentukan sikap begitu terdorong dek kebergantungan kepada Presiden dalam urusan kepentingan-kepentingan kepada jawatan dan keselesaan dan juga `zon ketakutan’ (fear zone) yang telah terbentuk di dalam diri pemimpin-pemimpin UMNO. Dan lebih ber`seni’ lagi, semuanya itu dilabelkan sebagai `demi menjaga peraduan dan keutuhan parti’.

Ketika PL mengambil alih pucuk pimpinan UMNO dari TDM, masyarakat umum dan ahli-ahli UMNO yang kebanyakannya sangsi akan keupayaan PL mengenepikan semua itu. Mengenepekan cerita-cerita PL hanya menggantikan sementara, hanya akan memegang jawatan Presiden dan Perdana Menteri untuk tempoh yang singkat. Yang lebih utama ialah dengan memberi peluang dan yang lebih penting harapan untuk membawa Malaysia dengan lebih berjaya. Harapan yang terbina lebih menjadi kukuh bilamana slogan awal PL ialah `mari bekerja BERSAMA saya’ dan slogan manifesto pilihanraya yang digunakan ialah membentuk Malaysia yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Slogan tersebut telah digarap dengan baik sehingga ianya terbina harapan massa yang begitu menyakinkan. Harapan inilah yang telah membentuk kayakinan baru kepada PL yang akhirnya diterjemahkan dengan kemenangan besar dalam pilihanraya 2004. Satu kemenagan yang direkodkan sebagai kemenagan BN yang paling cemerlang berbanding dengan sepuluh pilihanraya yang terdahulu.

Tempoh empat tahun selepas kemenangan menakjubkan PRU11, menjadi medan sebenar untuk menguji kemampuan PL. Tidak dinafikan juga tempoh tersebut juga tidak begitu bernasibbaik bagi PL, bila mana ibunya kemudian isterinya kembali Kerahmatullah. Ini sedikit sebanyak mempengaruhi PL samada dari segi emosi dan perasaanya. Ada perkara yang tidak mencukupi dalam kehidupannya. Pun demikian, simpati kepadanya juga bertambah.

Empat tahun yang berlalu juga, menyaksikan beberapa perkara yang diluar kawalan berlaku yang cukup memberikan tekanan dalam urusan mentadbir ekonomi negara. Kesan kenaikan harga minyak sejagat yang mengakibatkan `multiply effect’ kepada harga barangan dan penawaran yang lain, termasuk kenaikan harga bahan makanan. Mengecilkan jumlah subsidi bahan-bahan berasaskan petrolium.

Corak kepimpinan dan pengurusan yang kurang cekap, dalam isu-isu yang menarik perhatian umum seperti perebutan saham-saham Proton oleh Syed Bukhari dengan Tan Sri Nizamuddin. Begitu juga pengurusan tunggu dan lihat kepada isu AP yang melibatkan Rafidah Aziz. Puluhan isu lagi yang dilihat gagal diurus dengan cekap dan pantas telah menggoyahkan keyakinan kepada PL dan kabinetnya.

Ini ditambah lagi dengan campurtangan atau pengaruh manantunya Khairy Jamaluddin yang tidak dapat diselindung lagi. Hakikat ini sukar dipadam oleh oleh PL, atau mungkin PL menafikannya kerana sampai kini beliau tidak merasakan beliau sedikit sebanyak berada dalam pengaruh KJ.

Dalam segala keributan yang berlaku, TDM yang dalam tempoh itu telah diketepikan melalui projek-projek mega dan `benchmark’nya yang terdahulu di berhentikan, atau tidak diteruskan, telah tercabar dan tersinggung dengan hebatnya. Beliau dimalukan dengan tidak diberi ruang untuk menjadi wakil pada Perhimpunan Agung UMNO, walaupun TDM sendiri juga patut dipersalahkan kerana membuka ruang untuk dirinya dicabar. Semua `red light’ ini seolah-olah memberi isyarat kepada TDM untuk menggunakan jalan pintas yang lain dengan menggunakan atau dirinya dipergunakan oleh media yang berada diluar lingkungan UMNO dan kerajaan. Lingkaran yang mengelilingi beliau adalah lingkaran yang pernah berseteru dengannya seketika dahulu. Mungkin niat TDM untuk menegur dan memperbaiki, namun dalam waktu yang sama ianya juga telah digunakan atau kalau tidak dipergunakan telah memberi manfaat langsung kepada usaha ke arah menjatuhkan PL dan UMNO oleh pihak yang lain yang berada dalam lingkaran yang sama-sama disertai oleh TDM. Dalam majlis tersebut semua bertepuk tangan, bezanya ada bertepuk tangan dengan niat menegur dan sekelompok lagi dengan niat menghentam dan menjatuhkan.

Tempoh empat tahun ini juga menyaksikan DSAI dibebaskan dari penjara, juga dibebaskan dari tuduhan sodomi. Apa pun, sebahagian rakyat masih melihat DSAI sebagai harapan baru apatah lagi PKR yang seperti mendapat talian hayat. UMNO awal-awal lagi telah menutup ruang untuk DSAI kembali semula kepangkuannya. Pemimpin UMNO samada bongkak, atau sengaja mengwar-warkan untuk menyakinkan diri sendiri, menyatakan `Apa nak takut… dia seorang’. Pada hemat saya itu ayat orang takut, kalau tidak takut kenapa nak buat PRU12 cepat sangat, edahnya masih lama lagi. Kalau nak buat awalpun, kenapa bulan Mac tidak Mei, Jun, atau Julai. Semuanya kerana ketakutan, atau kalau tidak, kerana kerisauan. Betul, DSAI hanya seorang, tetapi beliau adalah tunggak dan obor aspirasi sebahagian dari rakyat. Hakikat ini tidak boleh diketepikan oleh UMNO.

Media alternatif yang tidak dapat dikawal, membantu ke arah penyebaran segala macam berita, hebahan, samada benar atau pun salah. Kehebatan Anwar memang sukar ditandingi. Kalau tidak masakan `The Great Mahathir’ membawa Anwar ketika UMNO kelemasan diganyang PAS dalam pilihanraya 1982. Sampai hari ini pun TDM masih menyebut, walaupun dalam kontek yang lain dan sinis, dia menyebut `Dia kalau campak di Israel pun boleh jadi Perdana Menteri’.

Bagi mereka yang beragama Islam. Jangan kita lupa, Aqidah kita mengajar, tiada suatu yang kekal, kita semua bersifat `BAHARU’ termasuk UMNO yang tersohor dengan usia parti politik tertua didunia. Yang memimpin negara lebih 50 tahun. Aqidah kita mengajar apa jua, barang sesuatu akan ada akhirnya. UMNO belum berakhir lagi, mungkin boleh seribu tahun lagi…… dengan izin Allah jua. Ianya memerlukan komitmen semua untuk memuhasabah diri, cawangan, bahagian dan pusat. Ruh perjuangan perlu ditahkiqkan semula, berjalan dengan merendah diri, budaya siasahnya perlu dibaiki. Ahli-ahli dan rakyat perlu nafas baru, keyakinan baru,….kalau dulu Great Mahathir tahu berundur, Mr. Nice Guy pasti lebih tahu untuk meminta diri, ……..


HzY@SUBSS

No comments: