Tuesday, October 03, 2006

September 20

T anggal itu baru berlalu, bagi anak-anak tarikh ini mereka mungkin dapat makan kek atau pun mungkin dibawa keluar untuk dibelanja makan. Setiap kali tarikh ini mereka mungkin gembira dan sekurang-kurangnya mengucapkan `Happy Birthday'. September 20 kali ini agak lain sedikit dari kebiasaan, ini berikutan dari usia yang kini mencecah 40 tahun.


Banyak perkara yang sebenarnya bermain dalam benak fikiran.Terasa benar hidup ini kejap sangat.. terasa benar peristiwa-peristiwa zaman kecil dahulu seakan baru berlalu semalam. Sejak zaman bebudak, dari mandi telanjang di sungai sampai reti mengorat di sekolah bermain-main dalam ingatan, pas satu-satu wajah idaman zaman itu muncul, kawan-kawan sekolah dan sepermainan sorang-sorang terimbas dalam ingatan.
Waktu-waktu di kampus UiTM Manjung dan Shah Alam berlari-lari di titi ingatan ku. Mana kawan-kawan lama? atau sahabat-sahabat yang dulu sering mengekori dan bersama-sama di rumah Kurong Seksyen 10 Shah Alam. Semuanya masih berbekas kuat dalam kamus ingatan. Mungkin aku telah dilupakan, tapi ketahuilah aku tak pernah melupai kalian. Betul juga kata pantun Melayu,


`Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Intai kami antara nampak
'Esok jangan rindu-rinduan


'Pak Pin & Kak Tie serta anak-anak yang seketika dahulu seperti anak-anakku masih tersisip tidak terhakis dalam anjung ingatan. Dah besar-besar mana mereka, tak ketahuan. Semuga semuanya baik-baik belaka.


Kalau dulu sihat-sihat, kini tak boleh silap sikit, salah makan meragam perut, kurang tidur kepala sakit, terujan sikit badan demam.... barangkali ini semua gejala penuaan. Dalam politik 40 tahun merupakan penanda aras baru, maknanya `GOODBYE DUNIA PEMUDA' kecualilah kalau nak jadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, ..... jauh semanggang dari api, jauh atap dari rabung.


Acapkali terasa banyak kerugian yang tercapai pada usia 40 tahun, banyak yang tidak kesampaian,... namun aku redha dan pasrah padaMu ya Allah. Baru sekarang aku mengerti betapa perlunya aku memohon agar dipanjangkan umur, diberi kesihatan yang baik, dilapangkan rezqi, dimudahkan urusan dan berbagai-bagai lagi...


Oh, Tuhan
Berikanlah aku kesempatan
untuk kesekian kalinya,
masih banyak yang belum kulakukan,
masih banyak yang perlu ku lakukan
anak-anak yang memerlu
kuhitung hari yang belum pasti
untuk yang tinggal,
banyak tidak disempurnakan lagi
untuk aku sendiri,
banyak yang tak mencukupi
Berikanlah aku sedikit lagi,
kalau tidak kerana aku,
kerana anak-anakku
yang amat memerlu.


HzY

No comments: