Tuesday, October 03, 2006

MUAL

Sepatutnya pergi ke Majlis Berbuka Bersama PM di Kediaman YAB Menteri Besar Perak, tapi rasa malas dan mual. Dalam kelaparan menjelang berbuka, terasa mual, mual dengan memikirkan kemana sudahnya UMNO, Melayu dan Malaysia. Tak usahlah nak dicerita dan ditambah hal Agama, lagilah kelam...Teman sisipkan tulisan A. Kadir Jasin yang dipetik dari Blog beliau The Scribe A Kadir Jasin yang tersiar pada 15 September 2006 yang lalu sebagai juadah fikir....
`SITI Nurhaliza dan Datuk Khalid Jiwa selamat diijabkabulkan menjadi isteri dan suami. Mawi dan Ina sudah sah memutuskan pertunangan. Akademi Fantasia tidak akan bermula sehingga awal tahun hadapan.Stesen-stesen televisyen kerajaan dan swasta berlumba-lumba memperbaiki penarafan (rating) dengan berlumba-lumba mengadakan siaran langsung pernikahan dan persandingan bergemerlapan Datuk K dengan Datin Siti dan kisah suka duka, cinta lara Mawi dengan Ina. Maka gembiralah rakyat jelata Malaysia yang memilih untuk menonton pernikahan dan persandingan Datuk K dengan Datin Siti. Manakala yang memilih untuk menonton tragedi (dipopularkan menjadi komedi) percintaan dan perpisahan Ina dan Mawi banyaklah yang menitiskan air mata. Maka buat seketika lupalah mereka akan masalah negara dan keluarga, masalah rasmi dan peribadi. Yang bergembira kerana Siti dan Datuk K sudah menjadi isteri dan suami lupa seketika mengenai kenaikan harga, kekurangan kerja, keputusan bekalan gula dan penjenayah yang bermaharajalela. Yang berdukacita dan meratap hiba kerana kehancuran cinta pari-pari (fairy tales) dua remaja Rancangan Felda juga lupa seketika kenaikan harga, kekurangan kerja, keputusan bekalan gula dan penjenayah yang bermaharajalela.Mudahnya dunia Malaysia. Lebih mudah lagi dunia Melayu. Mudah dibuai-lalaikan. Mudah dipukau dengan serapah dan jampi. Mudah diperkotak-katikkan. Mudah disogok dan diberi rasuah. Mudah lupa budi dan jasa.Maka lupalah mereka kepada penggadaian maruah bangsa. Jambatan dibatalkan kerana takut disaman dan didakwa oleh Singapura.Pelaburan ratusan juta ringgit dijual murah kerana ada penasihat yang diupah berkata ia akan membawa padah. Kerugian ratusan juta ringgit ditanggung kerana kononnya itulah nasihat, itulah firasat. Disingkatkan cerita itulah kisah Proton dan MV Agusta. Tetapi wang rakyat jelata digunakan pula bila Khazanah dikerah membeli semula Pantai Holdings yang, kerana lalai dan alpa pihak berkuasa, terjatuh ke tangan Singapura.

Maka tidak hairanlah kalau orang yang bergelar pemimpin gemar membuat kenyataan yang bukan-bukan, yang dangkal dan tidak masuk akal. Yang berguna hanya sebagai bahan ketawa.Gantikan keris dengan wang sebagai simbol Umno, kata mamanda Menteri Besar Pahang Adnan Yaakob, kerana bersimbolkan keris Umno sering bercakaran. Seolah-olah tidak mahu ketinggalan dalam proses membodohkan (dumbing down) minda ini, mamanda Menteri Besar Perlis Shahidan Kassim mencadangkan agar jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dijadikan jawatan seumur hidup.Kenapa harus ada cadangan dangkal sebegini? Kerana orang seperti Shahidan, yang terkenal dengan keberanian membaling batu, takut apabila dia tidak berkuasa lagi orang akan membaling batu ke arahnya.Dan terima kasih kepada media massa arus perdana yang semakin hari semakin sensasi, proses membodohkan pemikiran ini menjadi hidangan utama.Mungkin juga apabila ditanya soalan-soalan yang bernas para mamanda Menteri tidak dapat membalas. Maka ditanyakanlah soalan-soalan yang biasa supaya mudah dijawab sesedap rasa.Malangnya, pemikiran dangkal kelompok ini memaksa pemimpin yang lebih cerdik dan berwibawa – seperti Mohd Najib Abdul Razak dan Rais Yatim --- turut menjadi bodoh kerana dipaksa mengulas dan memberi tindakan kepada kebodohan ini.
Keris terhunus atau tersarung bukan punca pertelagahan Umno dan tukar ganti Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri bukan punca krisis kepemimpinan. Punca Umno bergaduh, bertelagah dan berkrisis adalah kerana mereka yang dilantik dan dipilih menjadi pemimpin tidak memimpin dengan semangat juang, dengan kesopanan dan akhlak, dengan budi dan iman dan kewarasan serta kebijaksanaan.Dan kepada Putera Umno, Mat Rempit mungkin berupa ubat pahit yang pertama buat mereka. Inilah masalah Umno hari ini – tergesa-gesa bertindak tetapi lambat dan lembap mendalami dan memahami isu semasa.Mat Rempit tidak akan menjadi Mat Rempit kalau tidak berlumba haram pada tengah malam di tengah-tengah bandar. Kalau mereka menunggang secara menurut peraturan atau berlumba di litar sah, mereka tidaklah lagi menjadi Mat Rempit.Mereka tidak berminat berlumba secara sah di Litar F1 Sepang kerana mereka tidak berhasrat menjadi pengganti kepada Valentino Rossi, Loris Capirossi atau Nicky Hayden. Mereka bangga, lega dan selesa menjadi Mat Rempit dan Minah Rempit yang berlumba haram.Aduhai bangsa yang malang, setiap yang buruk dan daif dikaitkan denganmu. Pelumba haram dipanggil Mat Rempit dan pekerja bawahan dipanggil Mat Spana dan Minah Karan.
Akhir kalam, izinkan saya memetik hujah cucu saudara pengasas Umno Allahyarham Onn Jaafar, Mohamed Abid, mengenai bendera Umno yang menjadi objek kritikan Adnan Yaakob. Katanya:“Banyak orang, termasuk pemimpin Umno hari ini, tidak tahu sejarah dan asal usul bendera Umno.”
Demikian adanya.

HzY
Anjung Bercham Elite

No comments: