Wednesday, October 04, 2006

JANGAN BIARKAN

Tiga perkara yang menarik perhatian saya yang ingin disentuh.

1) Kenyataan-kenyataan MB Pahang & Perlis.
2) Perhubungan dengan Singapura.
3) "I am in control"Kenyataan MB2 Pahang & Perlis.

Ada sekali di dalam ucapan MB Pahang merasmikan suatu Bahagian UMNO telah menyifatkan MB2 semuanya sebagai beruk-beruk dan pemimpin-pemimpin bawah mereka sebagai monyet-monyet di dalam politik. Saya telah menyaksikannya di Buletin Utama TV3 jam 8 malam. Walaupun apa yang digambarkan tentang perlakuan pemimpin-pemimpin UMNO itu serta `orang-orang'nya ada kebenarannya, namun mengungkap istilah `beruk' itu sewajarnya dipandang-pandang kerana jika demikian, yang mengungkap kalimah tertsebut juga selayaknya dianggap beruk kerana beliau juga tidak terlepas dari perlakuan-perlakuan begitu.

Di ikuti pula cadangan yang memaparkan kebodohan supaya keris di panji UMNO itu di ubah kepada wang syiling. Kalau dahulu Dato Adnan di anggap sebagai “samseng” yang berani dalam parti kita dengan sebab perbuatannya, kali ini dia menampakkan dirinya sebagai dangkal yang sudah kehilangan perjuangan dan arah tuju parti. Bukan keris yang menyebabkan perselisihan di antara pemimpin tetapi manusia yang di nobatkan sebagai pemimpin itu yang perlu di salahkan.

CadanganShahidan MB Perlis supaya pemimpin memegang jawatan seumur hidup harus di sanggah dan di tekan supaya di tarik balik kerana kita malu mempunyai pemimpin-pemimpin Melayu yang mengeluarkan cadangan-cadangan yang tidak boleh masuk akal seperti ini.

Kenyataan kedua-dua pemimpin ini sewajarnya ditarik balik secara terbuka, jika tidak perkara yang sama akan berulang, tidak dari `beruk-beruk' [meminjam kata-kata Tok Nan] yang sama mungkin dari `beruk-beruk' yang lain. Tindakan ini juga memberikan impak yang besar kepada imej UMNO itu sendiri, seolah-olah itulah taranya pemimpin-pemimpin UMNO.... Malu dan memalukan.

Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan Singapura mutakhir ini, nampaknya kelihatan seperti kita tunduk kepada mereka. Apa bajang yang digunakan sehingga kepimpinan kita seperti menikus takut untuk membuat keputusan yang memihak kepada kita. Lupakanlah kisah jambatan bengkok kita, tetapi kadar bayaran RM20 yang di anggap “kuaci” yang di katakan akan di kenakan kepada setiap kenderaan Singapura sebagai balasan subsidi minyak yang kita hulurkan kepada rakyatnya juga sehingga hari ini tidak terjadi-jadi. Kita memberi subsidi minyak petrol dalam lingkungan RM100 juta setiap tahun kepada rakyat Singapura. Sudah hampir setahun kajian di buat dan keputusan mengenakan bayaran RM20 masih belum di laksanakan. Kalau yang mudah pun di jadikan mudarat, apatah lagi keputusan yang lebih mustahak dan kusut seperti RMK9? Lebih baik RM100 juta yang kita hulurkan kepada Singapura setiap tahun ini di manfaatkan oleh pelajar-pelajar miskin di luar bandar.

Walaubagaimanapun, selagi pemimpin kita di jinakkan oleh Singapura di tengkuknya, selagi itulah kita akan terus tunduk kepada Yahudi Asia Tenggara ini."I am in control"Di dalam kamus Oxford, “control” ertinya 1.” Power of directing” 2. Power of restraining. 3.” Means of restraint and regulating. Ertinya, ada kuasa untuk mengarah, menahan dan menentukan peraturan di patuhi.

Kalau boleh disenarai ringkaskan, kebelakangan ini

1) Menteri boleh bertengkar dengan Ketua Menteri di hadapan Perdana Menteri,
2) Timbalan Menteri suatu kementerian boleh menegur tidak tanduk pegawai Kementerian lain, 3) Presiden komponen parti dalam BN boleh mengatakan PM tahu tentang masalah Melayu di Pulau Pinang dari itu UMNO tidak perlu bising menggambarkan Perdana Menteri yang dari Pulau Pinang itu tidak bertindak dengan lebih pro-aktif untuk membela nasib orang Melayu di sana.
4) MB Pahang boleh menghina MB2 lain dengan mengatakan mereka itu semuanya beruk2 politik manakala yang bawahnya monyet-monyet yang suka berteduh bawah pokok yang rendang
5) MB Pahang boleh bebas untuk mencadangkan keris yang terhunus di panji-panji UMNO selama 60 tahun itu di tukar kepada wang Syiling.
6) MB Perlis boleh mencadangkan kedudukan kepimipinan yang tinggi2 dalam parti di terajui seumur hidup.
7) IPCMC di cadangkan untuk memantau PDRM sedangkan sudah ada 4 badan-badan lain sedia ada untuk tujuan yang sama, sekaligus mengecilkan hati anggota polis di dalam keadaan kadar jenayah yang meningkat.
8) Bangsa yang beragama lain sudah berani untuk menyoal kedudukan Islam sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan kita secara terbuka dengan cara tidak langsung akan menaikkan kemarahan umat Islam di negara ini. DLL.


Kesemuanya gejala yang ditunjukkan di atas boleh disimpulkan seperti apa yang ditulis oleh seorang rakan saya dalam weblog beliau, katanya:" ini menunjukkan tiada “power of directing”, tiada “power of restraining” dan kalau pun ada “means of restraint and regulating” ianya tidak di laksanakan. Pemimpin yang selalu berbincang dan meminta ahli-ahli kabinet untuk membuat keputusan untuknya bukan seorang yang “in control” tetapi seorang pemimpin yang “di control”. Itulah sebabnya jemaah menteri dan memanda-memanda menterinya besar kepala.Rumusannya. “ He is in control to let things go out of control.”


Sekian adanya.

HzY
[InsyaAllah jika ada kesempatan saya akan menulis berkenaan Surat Kekesalan Lee Kuan Yew kepada PakLah yang disalinedarkan kepada umum selepas ini.]

Tuesday, October 03, 2006

Kusut


`Picture tells more than word'. Kata-kata ini mungkin ada kebenarannya. Kekusutan kekadang bisa pula membawa kekalutan.Dalam kehidupan kita sering didatangi saat-saat getir yang kadangkala membawa kepada kekusutan fikiran. Hanya dengan kesabaran dan `fokus' bisa menenggelamkan kekusutan dan kebuntuan.


Banyak kekusutan yang berlaku dalam seminggu dua ini. Thaksin terpaksa meninggalkan `Perdana Kuasa' bilamana angkatan tentera melakukan rampasan kuasa. Apakah ini akan mengundang atau membuka ruang campurtangan Amerika dan sekutu-sekutunya di wilayah ini memandangkan hubungan akrab Thaksin dan Amerika. Kita tunggu dan lihat perkembangan tersebut. Mengikut ramai kengkawan di Thailand, kejatuhan Thaksin amat disenangi dan dialu-alukan oleh sebilangan besar rakyat. Senario ini berikutan dari penjualan saham Syarikat milik keluarga Thaksin kepada Syarikat dari Singapura yang dilihat sebagai mencabar maruah rakyat Thailand.Masih adakah rasa bermaruah Orang Melayu berbanding dengan dengan Orang Siam?
Polemik Konflik antara Tun Mahathir dan PakLah juga satu kekusutan yang tak banyak menguntungkan mana-mana pihak... Isu ini nampaknya digarap secara politik yang amat merugikan. Siapa yang kusut pun tak tahulah, Tun sendirikah atau PakLah dan barisannya atau juga orang ketiga yang sentiasa menunggu-nunggu peluang.
Yang pasti Tun tak akan berhenti.....Jangan Kusut Jangan Kalut.
HzY4.0 pm, 7 Ramadhan

September 20

T anggal itu baru berlalu, bagi anak-anak tarikh ini mereka mungkin dapat makan kek atau pun mungkin dibawa keluar untuk dibelanja makan. Setiap kali tarikh ini mereka mungkin gembira dan sekurang-kurangnya mengucapkan `Happy Birthday'. September 20 kali ini agak lain sedikit dari kebiasaan, ini berikutan dari usia yang kini mencecah 40 tahun.


Banyak perkara yang sebenarnya bermain dalam benak fikiran.Terasa benar hidup ini kejap sangat.. terasa benar peristiwa-peristiwa zaman kecil dahulu seakan baru berlalu semalam. Sejak zaman bebudak, dari mandi telanjang di sungai sampai reti mengorat di sekolah bermain-main dalam ingatan, pas satu-satu wajah idaman zaman itu muncul, kawan-kawan sekolah dan sepermainan sorang-sorang terimbas dalam ingatan.
Waktu-waktu di kampus UiTM Manjung dan Shah Alam berlari-lari di titi ingatan ku. Mana kawan-kawan lama? atau sahabat-sahabat yang dulu sering mengekori dan bersama-sama di rumah Kurong Seksyen 10 Shah Alam. Semuanya masih berbekas kuat dalam kamus ingatan. Mungkin aku telah dilupakan, tapi ketahuilah aku tak pernah melupai kalian. Betul juga kata pantun Melayu,


`Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Intai kami antara nampak
'Esok jangan rindu-rinduan


'Pak Pin & Kak Tie serta anak-anak yang seketika dahulu seperti anak-anakku masih tersisip tidak terhakis dalam anjung ingatan. Dah besar-besar mana mereka, tak ketahuan. Semuga semuanya baik-baik belaka.


Kalau dulu sihat-sihat, kini tak boleh silap sikit, salah makan meragam perut, kurang tidur kepala sakit, terujan sikit badan demam.... barangkali ini semua gejala penuaan. Dalam politik 40 tahun merupakan penanda aras baru, maknanya `GOODBYE DUNIA PEMUDA' kecualilah kalau nak jadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, ..... jauh semanggang dari api, jauh atap dari rabung.


Acapkali terasa banyak kerugian yang tercapai pada usia 40 tahun, banyak yang tidak kesampaian,... namun aku redha dan pasrah padaMu ya Allah. Baru sekarang aku mengerti betapa perlunya aku memohon agar dipanjangkan umur, diberi kesihatan yang baik, dilapangkan rezqi, dimudahkan urusan dan berbagai-bagai lagi...


Oh, Tuhan
Berikanlah aku kesempatan
untuk kesekian kalinya,
masih banyak yang belum kulakukan,
masih banyak yang perlu ku lakukan
anak-anak yang memerlu
kuhitung hari yang belum pasti
untuk yang tinggal,
banyak tidak disempurnakan lagi
untuk aku sendiri,
banyak yang tak mencukupi
Berikanlah aku sedikit lagi,
kalau tidak kerana aku,
kerana anak-anakku
yang amat memerlu.


HzY

MUAL

Sepatutnya pergi ke Majlis Berbuka Bersama PM di Kediaman YAB Menteri Besar Perak, tapi rasa malas dan mual. Dalam kelaparan menjelang berbuka, terasa mual, mual dengan memikirkan kemana sudahnya UMNO, Melayu dan Malaysia. Tak usahlah nak dicerita dan ditambah hal Agama, lagilah kelam...Teman sisipkan tulisan A. Kadir Jasin yang dipetik dari Blog beliau The Scribe A Kadir Jasin yang tersiar pada 15 September 2006 yang lalu sebagai juadah fikir....
`SITI Nurhaliza dan Datuk Khalid Jiwa selamat diijabkabulkan menjadi isteri dan suami. Mawi dan Ina sudah sah memutuskan pertunangan. Akademi Fantasia tidak akan bermula sehingga awal tahun hadapan.Stesen-stesen televisyen kerajaan dan swasta berlumba-lumba memperbaiki penarafan (rating) dengan berlumba-lumba mengadakan siaran langsung pernikahan dan persandingan bergemerlapan Datuk K dengan Datin Siti dan kisah suka duka, cinta lara Mawi dengan Ina. Maka gembiralah rakyat jelata Malaysia yang memilih untuk menonton pernikahan dan persandingan Datuk K dengan Datin Siti. Manakala yang memilih untuk menonton tragedi (dipopularkan menjadi komedi) percintaan dan perpisahan Ina dan Mawi banyaklah yang menitiskan air mata. Maka buat seketika lupalah mereka akan masalah negara dan keluarga, masalah rasmi dan peribadi. Yang bergembira kerana Siti dan Datuk K sudah menjadi isteri dan suami lupa seketika mengenai kenaikan harga, kekurangan kerja, keputusan bekalan gula dan penjenayah yang bermaharajalela. Yang berdukacita dan meratap hiba kerana kehancuran cinta pari-pari (fairy tales) dua remaja Rancangan Felda juga lupa seketika kenaikan harga, kekurangan kerja, keputusan bekalan gula dan penjenayah yang bermaharajalela.Mudahnya dunia Malaysia. Lebih mudah lagi dunia Melayu. Mudah dibuai-lalaikan. Mudah dipukau dengan serapah dan jampi. Mudah diperkotak-katikkan. Mudah disogok dan diberi rasuah. Mudah lupa budi dan jasa.Maka lupalah mereka kepada penggadaian maruah bangsa. Jambatan dibatalkan kerana takut disaman dan didakwa oleh Singapura.Pelaburan ratusan juta ringgit dijual murah kerana ada penasihat yang diupah berkata ia akan membawa padah. Kerugian ratusan juta ringgit ditanggung kerana kononnya itulah nasihat, itulah firasat. Disingkatkan cerita itulah kisah Proton dan MV Agusta. Tetapi wang rakyat jelata digunakan pula bila Khazanah dikerah membeli semula Pantai Holdings yang, kerana lalai dan alpa pihak berkuasa, terjatuh ke tangan Singapura.

Maka tidak hairanlah kalau orang yang bergelar pemimpin gemar membuat kenyataan yang bukan-bukan, yang dangkal dan tidak masuk akal. Yang berguna hanya sebagai bahan ketawa.Gantikan keris dengan wang sebagai simbol Umno, kata mamanda Menteri Besar Pahang Adnan Yaakob, kerana bersimbolkan keris Umno sering bercakaran. Seolah-olah tidak mahu ketinggalan dalam proses membodohkan (dumbing down) minda ini, mamanda Menteri Besar Perlis Shahidan Kassim mencadangkan agar jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dijadikan jawatan seumur hidup.Kenapa harus ada cadangan dangkal sebegini? Kerana orang seperti Shahidan, yang terkenal dengan keberanian membaling batu, takut apabila dia tidak berkuasa lagi orang akan membaling batu ke arahnya.Dan terima kasih kepada media massa arus perdana yang semakin hari semakin sensasi, proses membodohkan pemikiran ini menjadi hidangan utama.Mungkin juga apabila ditanya soalan-soalan yang bernas para mamanda Menteri tidak dapat membalas. Maka ditanyakanlah soalan-soalan yang biasa supaya mudah dijawab sesedap rasa.Malangnya, pemikiran dangkal kelompok ini memaksa pemimpin yang lebih cerdik dan berwibawa – seperti Mohd Najib Abdul Razak dan Rais Yatim --- turut menjadi bodoh kerana dipaksa mengulas dan memberi tindakan kepada kebodohan ini.
Keris terhunus atau tersarung bukan punca pertelagahan Umno dan tukar ganti Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri bukan punca krisis kepemimpinan. Punca Umno bergaduh, bertelagah dan berkrisis adalah kerana mereka yang dilantik dan dipilih menjadi pemimpin tidak memimpin dengan semangat juang, dengan kesopanan dan akhlak, dengan budi dan iman dan kewarasan serta kebijaksanaan.Dan kepada Putera Umno, Mat Rempit mungkin berupa ubat pahit yang pertama buat mereka. Inilah masalah Umno hari ini – tergesa-gesa bertindak tetapi lambat dan lembap mendalami dan memahami isu semasa.Mat Rempit tidak akan menjadi Mat Rempit kalau tidak berlumba haram pada tengah malam di tengah-tengah bandar. Kalau mereka menunggang secara menurut peraturan atau berlumba di litar sah, mereka tidaklah lagi menjadi Mat Rempit.Mereka tidak berminat berlumba secara sah di Litar F1 Sepang kerana mereka tidak berhasrat menjadi pengganti kepada Valentino Rossi, Loris Capirossi atau Nicky Hayden. Mereka bangga, lega dan selesa menjadi Mat Rempit dan Minah Rempit yang berlumba haram.Aduhai bangsa yang malang, setiap yang buruk dan daif dikaitkan denganmu. Pelumba haram dipanggil Mat Rempit dan pekerja bawahan dipanggil Mat Spana dan Minah Karan.
Akhir kalam, izinkan saya memetik hujah cucu saudara pengasas Umno Allahyarham Onn Jaafar, Mohamed Abid, mengenai bendera Umno yang menjadi objek kritikan Adnan Yaakob. Katanya:“Banyak orang, termasuk pemimpin Umno hari ini, tidak tahu sejarah dan asal usul bendera Umno.”
Demikian adanya.

HzY
Anjung Bercham Elite

Sunday, October 01, 2006

BERMULA KALAM

Bismillahirrahmanirrahim.Dengan Kalam `Basmallah' teman bermula, semuga `Rahman & RahimNya' memayungi luas merahmatiku.Dah lama nak mulakan penulisan blog ini, namun asyik tertangguh jer.

Tujuan utama menulis blog ini adalah untuk melontarkan pandangan-pandangan pribadi yang kadang-kadang bersarang dalam kepala dan tidak dikongsikan dengan sapa-sapa. Dulu rajin juga bercerita-cerita kurang-kurangnya pada Dang Bini, tapi maklum sajalah... bila masa nak melayan kita bila berperang dengan anak-anak yang sedang nak naik... bukan sikit pulak tu,... dah la tu hero-hero pulak.Jadi nampaknya biarlah blog ini menjadi arkib atau mungkin juga bakul sampahan minda yang kalau bersarang di kepala tak siapa yang tahu.... atau pun dia hilang begitu saja.

Adanya blog ini kurang-kurangnya apa yang terfikir atau yang difikir, termuntah dalam media yang lain selain dari kotak fikir sendiri... kalau tidak ada yang sudi membacanya, ada juga tertulis apa yang pernah terfikir.Jam dah pukul dua lebih, esok payah pulak nak sahur, eloklah teman berangsur, muga permulaan ini satu permulaan yang baik. Seperti kata Sun Tzu `For every long journey, it's must be with first step' Wassalam.

HzY 3.09am 7 Ramadhan