Wednesday, October 03, 2007

POLA PEMIKIRAN POLITIK UMNO & PAS

KEBANGKITAN nasionalisme Melayu digerakkan oleh kesedaran yang dipelopori oleh gerakan Islah dan pembaharuan agama yang dipimpin oleh beberapa orang tokoh agama seperti Syed Syeikh Al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin.

Pergerakan mereka dipengaruhi oleh pergerakan islah di dunia Islam, khususnya di Timur Tengah yang dipelopori oleh Sayed Jamaluddin Al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Redha. Kesedaran itu diperkuatkan dengan kebangkitan nasionalisme di negara-negara jiran seperti Indonesia dan Filipina. Api kebangkitan nasionalisme di India juga turut dirasai di negara ini. Kesedaran ini diikuti dengan tertubuhnya parti politik dan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang mula membicarakan persoalan kemerdekaan negara dari belenggu penjajahan.

Parti-parti yang ditubuhkan hasil percikan pengaruh pergerakan kemerdekaan di Indonesia, khususnya mempunyai suatu bentuk ideologi tertentu. PKMM, umpamanya memperjuangkan ideologi nasionalisme dan terdapat di dalamnya elemen-elemen sosialisme dan komunisme. Demikian juga parti-parti politik yang lain yang ditubuhkan pada masa itu, terdapat unsur-unsur yang sedemikian. Ia telah diistilahkan sebagai parti-parti kiri oleh British kerana pihak penjajah cukup tidak menyenangi kewujudan parti-parti seperti ini.

Demikian juga, penjajah tidak menyenangi lahirnya parti Islam yang mendokong perjuangan berteraskan kefahaman tertentu yang berdasarkan kepada ajaran Islam. Di samping itu terdapat pertubuhan-pertubuhan yang tidak dipengaruhi oleh pergerakan dari luar. Pertubuhan ini tidak memiliki ideologi tertentu tetapi berusaha memperjuangkan nasib bangsanya. Pertubuhan ini muncul di tengah-tengah desakan, terutamanya dari kalangan gerakan Islah supaya orang-orang Melayu mengubah nasibnya dan mencari jalan untuk memerdekakan negaranya. Dari kumpulan inilah lahirnya UMNO iaitu hasil daripada perhimpunan Pertubuhan dan persatuan persatuan orang-orang Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu pada 11 Mei 1946.

Daripada UMNO inilah pula lahirnya Pas yang ditubuhkan pada 1950 iaitu hasil daripada Seminar yang dianjurkan oleh UMNO di Muar, Johor bagi mencari jalan untuk menyatu-padukan alim ulama supaya perjuangan UMNO untuk menegakkan agama Islam menjadi lebih berkesan. Nama sebenar yang diberikan oleh persidangan ini kepada Pas ialah Persatuan Islam Se Tanah Melayu dan ia menjadi salah satu sayap UMNO untuk memperjuangkan kedudukan Islam di negara ini. Ia dipimpin oleh Tuan Haji Ahmad Fuad Hasan yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Pada ketika ini banyak di kalangan ulama-ulama yang menjadi ahli UMNO dan pada masa yang sama menjadi ahli Pemuda dan Wanita. Ini ialah kerana Pas hanyalah sayap kepada UMNO dan menjadi sebahagian daripada sistem politik UMNO itu sendiri. Pas mula mengasingkan dirinya daripada UMNO apabila Datuk Onn mengundur diri daripada UMNO dan Haji Ahmad Fuad seorang penyokong kuat Datuk Onn kalah dalam pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO.

Tiga orang calon mengambil bahagian. Selain daripada Haji Ahmad Fuad, calon yang lain ialah Datuk Zainal dan Tunku Abdul Rahman Putra. Tunku Abdul Rahman memenangi jawatan itu dan sejak daripada itu, Tuan Haji Ahmad Fuad yang kekal menjadi Yang Dipertua Pas mula mengambil langkah membawa Pas keluar daripada UMNO.

Tetapi tidak lama selepas itu, Haji Ahmad Fuad meletakkan jawatan daripada Pas kerana perbezaan pendapat bagi menghadiri konvensyen: satu yang dianjurkan oleh Datuk Onn dan yang satu lagi dianjurkan oleh UMNO bagi membincangkan kemerdekaan Malaya. Mesyuarat Agung Khas Pas bersetuju menghadiri persidangan yang dianjurkan oleh UMNO dan menolak cadangan Haji Ahmad Fuad. Atas alasan itu beliau meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Pas dan jawatan beliau dipangku oleh Dr. Haji Abbas Alias.

Dalam konvensyen yang diadakan itu, perbezaan mula ketara antara Pas dan UMNO. Wakil Pas dalam persidangan itu Mohd. Asri dan Mohd Hanif menolak cadangan UMNO mengenai isu kerakyatan yang berasaskan kepada Jos Suli. Berdasarkan konsep ini, kerakyatan Malaya akan dibuka kepada semua kaum yang bermastautin di negara ini dan mereka yang lahir di negara ini selepas mereka akan menjadi rakyat negara ini dengan sendirinya. Perbezaan pandangan ini menyebabkan Pas terpisah langsung dengan UMNO.

Pada tahun 1955 apabila pilihan raya pertama diadakan, Pas turut menyertai pilihan raya menentang perikatan dan memenangi hanya satu kerusi di Krian, Perak. Calon Pas, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein menang dengan mengalahkan Tuan Haji Sulaiman Palestin. Di sinilah titik bermulanya perpisahan antara Pas dengan UMNO dalam perjuangan politik negara.

Dipetik dari:
MOHD NAKHAEI AHMAD
(Datuk Mohd Nakhaei Ahmad adalah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia )

No comments: