Thursday, April 09, 2009

Sekali Air Bah

Sekali Air Bah, Sekali Pantai Berubah, maksudnya apabila berlaku perubahan maka akibat dan kesannya akan juga merubah persekitarannya. Bagi pencinta alam, air bah bukan hanya dilihat sebagai bencana, bahkan disebalik bah yang datang juga membanjiri nutrien baru bagi tanah dan tumbuhan yang menyburkan.. Bahkan bagi karyawan seni bah itu adalah kitaran alam bagi memangjangkan kesinambungan dan kesuburan alam sendiri.

Dari perspektif lain pula, peribahasa Inggeris menyebut ( new broom sweeps clean ). Memanglah penyapu baru masihkuat, mantap dan belum ada yang serpih, patah, atau longgar ikatannya. Jadi kalau menggunakannya untuk membuat kerja menyapu habuk, membuang sawang, atau membersihkan rumah memang penyapu baru cukup berkesan.

Biasanya orang menggunakan peribahasa ini untuk mengatakan keraguan, sinisme, memerli atau menyindir pekerja atau pegawai atasan yang baru dilantik.

Jadi tak usahlah kita berkata begitu kepada PM, TPM, dan pasukan Menteri Kabinet yang baru dinamakan pada hari ini.Kita ucapkan tahniah dan berdoa mudah-mudahan kumpulan pemimpin baru kerajaan ini akan gigih berkhidmat kepada rakyat semua ( bukan untuk BN sahaja), dan lebih penting lagi mereka betul-betul berhati bersih, bermoral bersih dan bertindak bersih sepanjang menduduki kursi Menteri dan Timbalan Menteri. Cukuplah apa yang terjadi pada masa-masa lalu kerana rakyat tidak buta hati perut untuk memerhati apa yang dikatakan oleh Lord Acton: Power corrupts; absolute power corrupts absolutely.

Bukit Selambau dan Bukit Gantang telah bercerita serba sedikit atau secupak dua bahawa rakyat pengundi tidak mudah lagi ditarik hidungnya seperti lembu ternakan. Mereka tidak mudah pula dikategorikan dalam warna itu dan warni ini sebagaimana begitu mudah dianalisis oleh penganalisis politik di TV. Kalau dahulu sangatlah sukar bagi pembangkang untuk menang pilihan raya kecil bila berhadapan dengan jentera-jentera besar parti yang berkuasa, tetapi hari ini ceritanya sedikit lain. Jadi bukan lagi soal duit, kedudukan rasmi, dan berapa banyak bendera yang menjadi penentu. Ada isu-isu moral, idealisme, dan nilai-nilai baru yang sedang berkembang turut memainkan peranan memepengaruhi keputusan rakyat. .

Setiap PM dan Menteri akan keluar dengan jenama baru bagi kepemimpinan masing-masing. Dulu ada "Bersih, Cekap dan Amanah":, dan kemudian ada "Islam Hadhari"; kedua-duanya kata orang kalau tak pupus pun , tinggal nama sajalah. Gajah meninggalkan tulang, harimau meninggalkan belang, pemimpin agaknya meninggalkan slogan.YAB Dato Najib , sebagai PM baru, baru saja melaungkan "Satu Malaysia" atau "One Malaysia". Ungkapan ini tidak berbelit-belit lidah menyebutnya, ringkas dan padat, tetapi apa maknanya.Apa matlamatnya ? Bagaimana hendak mencapainya? Kita tunggulah, dan kalau baik rakyat mesti sokong.

Bercakap tentang rakyat kita menjadi kabur kerana yang dikatakan rakyat itu ialah penduduk Melayu, Iban, Kadazan, Orang Asli, Cina, India, Sikh, Jafna, Eurasian dan lain-lain lagi. Ada yang Islam, animisme, Kristian, Hindu dan fahaman-fahaman lain Budha, Bahai etc.Kalau untuk menyatukan rakyat berasaskan penyelesaian ekonomi, perumahan, makanan dan pakaian, kerajaan tentu tidak berhadapan banyak masalah. Tetapi apabila berkait dengan soal agama, kebudayaan, bahasa, dan warisan, maka di sinilah kerumitan besar akan timbul seperti apa yang telah berlaku dengan usaha kerajaan untuk memaksakan bahasa Inggeris dengan menyingkirkan kedudukan bahasa Melayu dalam PPSMI.

Mampukah YAB TS Mahyuddin Yassin, Menteri Pelajaran baru mengembalikan kedaulatan Bahasa Melayu ke tempatnya yang sah?Walaupun konsep dan tatacara " Satu Malaysia' itu belum difahami oleh ramai, tetapi apabila ia bertujuan besar untuk mewujudkan keharmonian dan kestabilan masyarakat pelbagai kaum, gagasan ini patut disokong dengan syarat jangan sampai menjejaskan semangat besar Perlembagaan Persekutuan dalam perkara yang berkaitan Bahasa Melayu, agama Islam, Hak keistemewaan Orang Melayu, dan kedudukan Raja-raja Melayu. Perkara-perkara ini adalah tiang seri atau asas bagi Perlembagaan negara ini. Semua perkara in bukanlah meletakkan rakyat keturunan bukan Melayu dalam keadaan kelas kedua, malah kestabilam penduduk Melayu Islam yang majoriti dan kaitannya dengan sejarah, akan menjamin kehidupan penduduk lain , terutama berdasarkan tasawur Islam yang menjanjikan keadilan bagi semua orang. Satu Malaysia tersebut, justeru harus dibangunkan berlandaskan prinsip-prinsip Islam sebagaimana masyarakat Madinah dibentuk oleh Muhammad SAW dengan Piagam Madinah, perlembagaan yang pertama ditulis dalam sejarah dunia.Tidaklah dimaksudkan kita harus kembali kepada piagam itu, tetapi harus menimba insprirasi dan pengajaran daripadanya untuk menyelesaikan kehidupan zaman.

HzY