Wednesday, October 03, 2007

SHAHRIR SAMAD: Antara Yang Terbilang

Sementara menunggu waktu sahur, sempat melihat beberapa Webblog yang kekadang mencuri perhatian saya, antaranya YB Datuk Shahrir Samad. Sememangnya pemikiran beliau yang seringkali dilabel agak kontraversi itu mengumpan perhatian saya... namun saya berpandangan Ahli Parlimen UMNo khususnya perlu lebih ramai yang mempunyai daya pemikiran sebegini...

Well..kenali beliau, saya titipkan Alu-aluan beliau dalam webnya serta pengenalan dirinya agar sekurang-kurangnya kita lebih celik kenal dengan beliau.

>> petikan bermula.

Selamat datang ke Laman Web Dato' Shahrir Abdul Samad di Shahrir-umno.com

Laman web ini bertujuan untuk menambahkan ruang hubungan di antara saya selaku Ahli Parlimen Johor Bahru dengan pengundi Johor Bahru. Pastilah ia tidak dapat menggantikan kehadiran dan diri saya sendiri dalam pertemuan sebagai seorang wakil rakyat dengan pengundi-pengundi saya tetapi dalam suasana kesibukan harian semua pihak, penggunaan teknologi boleh meningkatkan kecekapan khidmat yang diperlukan. Maklumat dan kekesanan penyampaian maklumat akan membantu untuk mencapai kecekapan khidmat itu dan teknologi internet memudahkannya. Tambahan pula, seorang Ahli Parlimen BN sekarang boleh dihubungi melalui laman web shahrir-umno.com.

Matlamat shahrir-umno.com adalah untuk meningkatkan kecekapan khidmat kepada rakyat dan saya berpendapat teknologi internet akan membantu untuk menjadikan kami semua cekap, telus, terbuka dan 'accountable' kepada rakyat yang telah mengundi BN pada Pilihanraya 2004.

Sekian, Terima Kasih.
Dato' Shahrir Abdul Samad
Ahli Parlimen Kawasan Johor Bahru.
H/P 0192778667

Saya dilahirkan pada 22hb November 1949 di Kuantan, Pahang sebagai anak ketiga dan lelaki sulong kepada keluarga seorang guru. Walaupun ayah dan ibu saya berasal dari Muar, Johor, tetapi ayah yang berkidmat dengan kerajaan diarahkan bertugas merata Semenanjung Malaysia. Maka saya turut bersekolah di Kuala Pilah, Kota Bharu dan Kuala Terenganu. Hanyalah diperingkat sekolah menengah, saya mengalami dunia persekolahan yang lebih tetap apabila saya belajar di Kolej Melayu sehinggalah tamat Tingkatan 6. Ijazah pertama saya ialah B.Ec. dalam jurusan Perangkaan (Statistics) dari Universiti Malaya (1972) dan pada 1977, saya berpeluang memperolehi ijazah sarjana dalam jurusan pengurusan perniagaan (MBA) di IMEDE (sekarang IMD), Lausanne.

Kerjaya saya dalam politik bermula pada 1973 sungguhpun saya perlu berkhidmat dengan Chartered Bank selepas tamat pengajian di universiti untuk memenuhi keperluan biasiswa bank itu. Saya bernasib baik diberi peluang untuk bertugas sebagai seorang Setiausaha Politik, mula-mula kepada Allahyarham Tun Dr. Ismail (Menteri Perdagangan & Perindasterian), Tan Sri Musa Hitam (Menteri Perusahaan Utama), Allahyarham Tun Abdul Razak (Perdana Menteri) dan Allahyarham Tun Hussein Onn (Perdana Menteri). Dalam Pilihanraya 1978, saya diberikan kepercayaan oleh pucuk pimpinan BN untuk bertanding di kawasan Parlimen Johor Bahru. Saya mewakili Johor Bahru sehingga Pilihanraya 1990 apabila saya menyerahkan tugas itu kepada bekas setiausaha politik saya, Mohd Khaled Nordin. Pada Pilihanraya 2004, saya kembali sebagai calun BN untuk Johor Bahru dan yang sangat memerangsangkan ialah kemenangan BN di Johor Bahru dengan majoriti yang tertinggi sekali bagi semua kawasan Parlimen yang ditandingi pada pilihanraya itu.

Dari segi jawatan politik pula, selain daripada jawatan setiausaha politik, saya telah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri (1978-79), Timbalan Menteri Kewangan (1980-81), Timbalan Menteri Perdagangan & Perindusterian (1982-83), Menteri Wilayah Persekutuan (1983-85) dan akhir sekali selaku Menteri Kebajikan(1985-87). Selain daripada jawatan-jawatan dalam Kerajaan, saya turut juga aktif dialam kegiatan peringkat Parlimen, terutamanya dalam persatuan peringkat antarabangsa, dengan memegang jawatan sebagai Ahli Exco Commonwealth Parliamentary Association (CPA) sehinggalah sebagai Presiden persatuan itu.

Sekarang, saya berada dalam fasa baru kerjaya politik saya. Dalam fasa ini, saya ingin menyumbangkan pengalaman saya untuk memulihkan kembali martabat ahli-ahli Parlimen biasa melalui kedudukan saya sebagai Pengurusi, Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) dan Pengurusi, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (Public Accounts Committee atau PAC), berserta juga untuk membantu mengembalikan keutuhan Parlimen sebagai institusi penggubal undang-undang yang luhur. Inilah matlamat kepimpinan negara hari ini dan saya berharap dapat menyumbangkan apa yang saya mampu kearah pencapaiannya. Parlimen adalah antara institusi asas sistem politik negara dan pengukuhannya sebenarnya akan mengukuhkan suara dan aspirasi rakyat itu sendiri, iaitu teras kepada sistem politik negara. Wujudnya Parlimen adalah kerana kepentingan rakyat, maka kuat dan kukuhnya Parlimen, kuatlah rakyat.

PEJABAT KHIDMAT AHLI PARLIMEN

16A Jalan Suria 19 Tal: 07 3317177, 07 3327177
Taman Putera Fax: 07 3357177
81100 Johor Bahru

PEJABAT URUSAN PERIBADI

11-3 Jalan 26/70A Tal: 03 23004392
Desa Sri Hartamas Fax: 03 23002292
50480 Kuala Lumpur

ALAMAT KEDIAMAN

90-5 Sri Duta I Tal: 03 20944266
Jalan Gallagher
Taman Duta
50480 Kuala Lumpur


H/P : 019 2778667

e-mail: shahrir2211@yahoo.com
johorbahru@bnbbc.com.my

POLA PEMIKIRAN POLITIK UMNO & PAS

KEBANGKITAN nasionalisme Melayu digerakkan oleh kesedaran yang dipelopori oleh gerakan Islah dan pembaharuan agama yang dipimpin oleh beberapa orang tokoh agama seperti Syed Syeikh Al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin.

Pergerakan mereka dipengaruhi oleh pergerakan islah di dunia Islam, khususnya di Timur Tengah yang dipelopori oleh Sayed Jamaluddin Al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Redha. Kesedaran itu diperkuatkan dengan kebangkitan nasionalisme di negara-negara jiran seperti Indonesia dan Filipina. Api kebangkitan nasionalisme di India juga turut dirasai di negara ini. Kesedaran ini diikuti dengan tertubuhnya parti politik dan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang mula membicarakan persoalan kemerdekaan negara dari belenggu penjajahan.

Parti-parti yang ditubuhkan hasil percikan pengaruh pergerakan kemerdekaan di Indonesia, khususnya mempunyai suatu bentuk ideologi tertentu. PKMM, umpamanya memperjuangkan ideologi nasionalisme dan terdapat di dalamnya elemen-elemen sosialisme dan komunisme. Demikian juga parti-parti politik yang lain yang ditubuhkan pada masa itu, terdapat unsur-unsur yang sedemikian. Ia telah diistilahkan sebagai parti-parti kiri oleh British kerana pihak penjajah cukup tidak menyenangi kewujudan parti-parti seperti ini.

Demikian juga, penjajah tidak menyenangi lahirnya parti Islam yang mendokong perjuangan berteraskan kefahaman tertentu yang berdasarkan kepada ajaran Islam. Di samping itu terdapat pertubuhan-pertubuhan yang tidak dipengaruhi oleh pergerakan dari luar. Pertubuhan ini tidak memiliki ideologi tertentu tetapi berusaha memperjuangkan nasib bangsanya. Pertubuhan ini muncul di tengah-tengah desakan, terutamanya dari kalangan gerakan Islah supaya orang-orang Melayu mengubah nasibnya dan mencari jalan untuk memerdekakan negaranya. Dari kumpulan inilah lahirnya UMNO iaitu hasil daripada perhimpunan Pertubuhan dan persatuan persatuan orang-orang Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu pada 11 Mei 1946.

Daripada UMNO inilah pula lahirnya Pas yang ditubuhkan pada 1950 iaitu hasil daripada Seminar yang dianjurkan oleh UMNO di Muar, Johor bagi mencari jalan untuk menyatu-padukan alim ulama supaya perjuangan UMNO untuk menegakkan agama Islam menjadi lebih berkesan. Nama sebenar yang diberikan oleh persidangan ini kepada Pas ialah Persatuan Islam Se Tanah Melayu dan ia menjadi salah satu sayap UMNO untuk memperjuangkan kedudukan Islam di negara ini. Ia dipimpin oleh Tuan Haji Ahmad Fuad Hasan yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Pada ketika ini banyak di kalangan ulama-ulama yang menjadi ahli UMNO dan pada masa yang sama menjadi ahli Pemuda dan Wanita. Ini ialah kerana Pas hanyalah sayap kepada UMNO dan menjadi sebahagian daripada sistem politik UMNO itu sendiri. Pas mula mengasingkan dirinya daripada UMNO apabila Datuk Onn mengundur diri daripada UMNO dan Haji Ahmad Fuad seorang penyokong kuat Datuk Onn kalah dalam pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO.

Tiga orang calon mengambil bahagian. Selain daripada Haji Ahmad Fuad, calon yang lain ialah Datuk Zainal dan Tunku Abdul Rahman Putra. Tunku Abdul Rahman memenangi jawatan itu dan sejak daripada itu, Tuan Haji Ahmad Fuad yang kekal menjadi Yang Dipertua Pas mula mengambil langkah membawa Pas keluar daripada UMNO.

Tetapi tidak lama selepas itu, Haji Ahmad Fuad meletakkan jawatan daripada Pas kerana perbezaan pendapat bagi menghadiri konvensyen: satu yang dianjurkan oleh Datuk Onn dan yang satu lagi dianjurkan oleh UMNO bagi membincangkan kemerdekaan Malaya. Mesyuarat Agung Khas Pas bersetuju menghadiri persidangan yang dianjurkan oleh UMNO dan menolak cadangan Haji Ahmad Fuad. Atas alasan itu beliau meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Pas dan jawatan beliau dipangku oleh Dr. Haji Abbas Alias.

Dalam konvensyen yang diadakan itu, perbezaan mula ketara antara Pas dan UMNO. Wakil Pas dalam persidangan itu Mohd. Asri dan Mohd Hanif menolak cadangan UMNO mengenai isu kerakyatan yang berasaskan kepada Jos Suli. Berdasarkan konsep ini, kerakyatan Malaya akan dibuka kepada semua kaum yang bermastautin di negara ini dan mereka yang lahir di negara ini selepas mereka akan menjadi rakyat negara ini dengan sendirinya. Perbezaan pandangan ini menyebabkan Pas terpisah langsung dengan UMNO.

Pada tahun 1955 apabila pilihan raya pertama diadakan, Pas turut menyertai pilihan raya menentang perikatan dan memenangi hanya satu kerusi di Krian, Perak. Calon Pas, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein menang dengan mengalahkan Tuan Haji Sulaiman Palestin. Di sinilah titik bermulanya perpisahan antara Pas dengan UMNO dalam perjuangan politik negara.

Dipetik dari:
MOHD NAKHAEI AHMAD
(Datuk Mohd Nakhaei Ahmad adalah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia )